Sejarah Kampung : KG.KELATUAN, PAPAR
Kampung ini terletak 12 kilometer dari Pekan Papar merupakan sebuah perkampungan yang terdiri daripada pelbagai suku kaum yang mejoritinya berbangsa Kadazan/Dusun yang beragama Islam dan Kristian. Asalnya kampung Kelatuan adalah meliputi Batu 7, Batu 8 , Batu 9, Kg.Baru , Pampang dan Simpang Gadong namun telah disatukan di bawah naungan sebuah pentadbiran JKKK.Kg.Kelatuan. Tetapi atas kehendak politik ( semasa Kerajaan Berjaya yang mengambil alih tampuk pemerintahan dari Kerajaan USNO tahun 1976 - 1986) telah berpecah dua menjadi dua pemerintahan JKKK iaitu Kg.Kelatuan dan Kg.Melagui (Batu 7). Pada tahun 1996 Kg.Kelatuan yang mempunyai potensi untuk dimajukan dalam berbagai aspek khususnya dalam bidang pertanian dan pendidikan ianya telah diistiharkan sebagai kampung Gerakan Desa Wawasan (sekarang Gerakan Daya Wawasan ) dan dipilih menjadi tuan rumah pelancaran Gerakan Desa Wawasan Peringkat Parlimen Papar dan Kimanis yang dirasmikan oleh YB.Datuk Karim Hj.Bujang, ADUN Bongawan (ketika itu menjadi Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah). Kampung ini pernah mendapat tempat ketiga ( dua kali berturut-turut ) dalam pertandingan Kampung GDW Peringkat Daerah Papar pada tahun 1998 dan 2001. Sebelum persempadanan baru kawasan DUN dan Parlimen (2003) Kg.Kelatuan adalah dalam kawasan DUN N19, Pantai Manis dan Parlimen P153, Papar ( kini dalam kasawan DUN N23, Bongawan dan Parlimen P176, Kimanis).
Perkampungan yang asalnya terdiri dari kebun-kebun getah yang luas dan sawah padi yang dimiliki oleh orang perseorangan kini sebahagiannya telah menjadi ladang sayur. Ladang buah-buahan dan penternakan ayam yang terbesar di Daerah Papar di samping kebun-kebun getah milik pekebun-pekebun kecil yang sedia ada sebagai sumber asas ekonomi penduduknya dan pekerjaan anak-anak desa yang tidak mahu berhijrah bekerja di bandar. Namun sebahagian besar anak muda di kampung ini telah bekerja di Jabatan-jabatan Kerajaan dan Swasta, bahkan ada juga yang telah berjaya dalam bidang perniagaan dan mejoritinya adalah menjadi pendidik.
Kampung ini mengambil sempena nama seorang penduduk kampung ( Tuan Kala ) yang dianggap kaya dan menjadi rujukan kepada jiran-jirannya pada zaman itu. Dia memiliki binatang-binatang ternakan yang banyak seperti kerbau, lembu, ayam, itik dan lain-lain. Dia dijadikan sebagai panukuan dalam bahasa Dusun (Ketua). Rumahnya terletak berdekatan dengan tanah perkuburan orang-orang Kristian Kg.Kelatuan, Jalan Simpang masuk Kg.Lingan Baru. Dia dikatakan meninggal dunia pada tahun 1925 dan dikebumikan di Batu 7 di atas bukit berhampiran dengan pokok Britus. Menurut cerita bahawa batu nisannya masih ada dan pernah dijumpai oleh sesorang semasa membersihkan kawasan tersebut yang bertulis dengan nama “KELATUAN.”
Menurut cerita orang terdahulu lagi, Kampung Kelatuan ini sebenarnya terletak di Hulu Sungai Benoni yang dahulunya perahu-perahu mereka berpangkalan di Batu 7 (seakarang Kg.Melagui) iaitu semasa sungai Benoni masih dalam. Mereka datang untuk berniaga menjual ikan dengan penduduk setempat. Maka berlakukan pada masa itu sistem berniaga tukar-tukar barang seperti ikan dengan padi, asam aroi, buah-buahan dan sebagainya.
GDW Kampung Kelatuan asalnya mengeluarkan hasil masyhul daripada sumber getah dan padi telah menjadi perkampungan yang ramai penduduknya apabila pada tahun 1953 – 1957 telah didatangi oleh penduduk pribumi yang berhijrah dari daerah Tambunan, Keningau dan Ranau serta sebelumnya terdapat juga migran dari Indonesia (Pulau Jawa dan Pulau Sumetra) pada sekitar tahun 1948 - 1949. Justru itu generasi awal kampung ini adalah migran. Orang Tua Kampungnya terdiri daripada Mandiang O.T.Gimbang bin Kandaya (1915-1925), Mandiang O.T.Sintim bin Kandaya (1925-1955), Allahyarham O.T.Abdullah bin Bonawa @ Bosati, K.K.Salleh bin Sawal (1972-1980), Mandiang K.K.Camillus bin Dimbangan (1980-1994), Allahyarham K.K.Amat bin Sulaiman (1994-2003) dan akhir sekali Mandiang K.K.Camillus bin Dimbangan (2004-2005)
Semenjak tahun 1994 hingga sekarang, Kampung Kelatuan GDW telah dipimpin oleh Ustaz Mohamad bin Hj.Abd.Ghani (seorang pribumi berasal dari Weston, Beaufort dan berkahwin dengan wanita Kg.Kelatuan, Puan Salbiah Haji Mohd.Yunus). Beliau merupakan bekas seorang guru agama di SK.Kelatuan (1975 – 1993) dan kini menjadi Ketua Unit, di Unit Pengurusan Pendidikan Islam dan Moral, Pejabat Pelajaran Gabungan Beaufort tetapi terus tinggal menetap di Kampung Kelatuan demi untuk meneruskan khidmat bakti beliau kepada masyarakat setempat tanpa mengira penat-lelah kerana beliau berpegang kepada falsafah, DI MANA BUMI DIPIJAK DI SITU LANGIT DIJUNJUNG.”
Warga GDW Kelatuan dengan senada dan seirama ingin membina masyarakat desa yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam semua lapangan serta mempunyai akhlak dan disiplin yang tinggi ke arah merealisasikan pemodenan desa dengan cogan kata keramat GDW “ Ke arah Desa Yang Maju, Menarik dan Menguntungkan ” menjelang tahun 2015.